Difitnah Hina Islam Gunakan Whatsapp, Suresh Hidup Dalam Ketakutan
ALOR GAJAH -“Hati saya tak tenang, anak-anak nak ke sekolah pun saya risau," kata seorang bapa kepada dua anak yang kini hidup ketakutan selepas dituduh menghantar mesej menghina Islam menerusi aplikasi WhatApp.
V Suresh Nanthan, 43, yang merupakan pemandu lori berkata, dia kini tertekan kerana bukan saja diugut, malah gambarnya juga disebar dalam laman sosial.
Dia bagaimanapun menafikan berbuat demikian, sebaliknya percaya kemungkinan ada individu lain menggunakan aplikasi Fake WhatsApp dengan mendaftar nombor telefonnya serta menggunakan fotonya.
Suresh berkata, sejak beberapa hari lalu, dia menerima beratus mesej melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon yang mengugut, marah serta memakinya.
Menurutnya, gangguan itu menyebabkan dia kini takut untuk keluar rumah termasuk untuk bekerja seperti biasa kerana merasakan dirinya terancam.
Menceritakan kejadian, Suresh berkata, dia hanya mengetahui nombor telefonnya berserta mesej biadab itu ditularkan setelah dihubungi seorang rakan yang memaklumkan hal berkenaan sebelum dia dibanjiri panggilan dan mesej.
Dalam masa sama, katanya, seorang penjual pen tayar bertanya banyak soalan dalam aplikasi WhatsApp kerana tidak berpuas hati dengannya.
“Sebelum ini saya selalu beli barang terutama alat ganti motor melalui perniagaan atas talian. Tapi hari itu saya ditanya pelbagai soalan.
“Yang peliknya, mereka bukan sahaja tahu nombor telefon saya, malah alamat rumah juga mereka tahu. Saya yakin mereka dapat alamat rumah dengan cari nombor plat kereta yang pernah saya muat naik di Facebook," katanya.
Menurutnya, tidak cukup dengan ugutan, malah ada individu yang mahu pukul dan menculik anaknya kerana mesej berkenaan.
"Malah, ada yang menularkan video seorang individu yang cedera parah ditetak dan mereka mendakwa itu diri saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini, semalam.
Suresh berkata, mesej menghina itu bukan datang darinya, malah dia sedia disiasat polis untuk mendapatkan kebenaran.
“Sebelum apa-apa berlaku, saya nak minta rakyat Malaysia tolong jangan mudah percaya. Selama ini saya tak pernah bersengketa dengan mana-mana kaum pun,” katanya.
Sementara itu, difahamkan, kes Suresh itu dibawa ke Balai Polis Seremban berikutan mangsa tinggal di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Perkisma jumpa Suresh
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Sejati Negeri Melaka (Perkisma), Mohd Asri Ramli berkata, pihaknya memandang serius isu individu yang menghina agama Islam, bagaimanapun sebelum mengambil sebarang tindakan hal itu perlu diselidik terlebih dahulu.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara dengan mewujudkan isu perkauman seperti ini sehinggakan keluarga terbabit hidup dalam ketidak tentuan.
“Sebab itu hari ini (semalam) saya berjumpa secara berdepan dengan mangsa (Suresh) dan mendengar penerangannya yang dia sebenarnya teraniaya dengan menggunakan teknologi.
“Ini antara usaha-usaha yang dilakukan individu yang mahu memecah belahkan keharmonian kaum di negara ini dengan membuat fitnah melalui akaun palsu.
“Saya minta polis ambil tindakan agar kes ini dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya.
loading...
No comments