Elaun RELA Naik RM2 Sejam - Info Viral

Terkini

Elaun RELA Naik RM2 Sejam




SERDANG: Berita baik bagi kira-kira 2.8 juta anggota dan pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di seluruh negara, apabila kerajaan bersetuju menaikkan elaun bertugas mereka sebanyak RM2 sejam.

Kenaikan itu membolehkan anggota RELA menerima elaun RM6 sejam berbanding RM4 sekarang, manakala Ketua Platun menerima RM7.80 berbanding RM5.80 sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang membuat pengumuman itu berkata kenaikan berkenaan membuktikan kerajaan prihatin dan mementingkan kebajikan rakyat serta sentiasa mendengar permintaan mereka.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dan permohonan RELA untuk kenaikan elaun itu boleh diluluskan segera,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Perdana RELA sempena sambutan ulang tahun ke-40 ikatan itu yang dihadiri 30,000 anggota dari seluruh negara di sini, semalam.

Terdahulu, Najib berkata RELA bakal menjadi sebuah organisasi lebih tersusun, berintegriti dan berwajah 1Malaysia selepas melalui proses transformasi yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, bagi tujuan itu, satu akta baru sedang digubal dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat, tahun ini.

“Akta baru akan memperluaskan peranan dan fungsi RELA, sekali gus menghapuskan tanggapan orang ramai anggota RELA hanya sebagai pembantu dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara.
“Anggota RELA akan membantu menjayakan program transformasi yang dicadangkan kerajaan dan bersama-sama mempertahankan agenda negara kerana ancaman baru boleh timbul, termasuk secara halus yang boleh menggugat kepentingan negara.

“Jika ada ancaman jenayah atau masalah berkaitan perpaduan, RELA ada di situ bersama pasukan (keselamatan) lain. RELA perlu lebih dekat dengan rakyat dan bukan sekadar di majlis tertentu saja,” katanya.

Najib menggesa anggota RELA supaya terus berada di belakang kerajaan untuk mempertahankan keamanan negara dan tidak membiarkan pihak lain mencalar imej negara.

“Kita mahu keamanan terus terpelihara. Jangan sesekali menimbulkan huru hara kerana tiga juta anggota RELA tidak rela negara berada dalam keadaan kucar kacir,” katanya.

sumber
loading...

No comments