5 Petua Atasi Masalah Kutu Di Rambut Anak Tanpa Guna Syampu Kutu
Melihat anak menggaru kepala sebaik pulang dari rumah pengasuh atau sekolah masalah kutu pasti terlintas di fikiran. Ia jadi ingauan ngeri buat si ibu. Apa tidaknya jika tidak dikesan awal, kemungkinan satu keluarga akan dijangkiti masalah kutu yang menyebabkan kepala gatal malah luka akibat menggaru.
Kebiasaannya, kutu rambut mudah berjangkit kalangan kanak-kanak di sekolah rendah namun begitu, tidak mustahil masalah kutu rambut menyerang remaja di sekolah menengah bahkan golongan dewasa.
Masalah jangkitan kutu boleh berlaku sekalipun seseorang itu memakai tudung kerana kutu rambut lebih mudah membiak di tempat yang tertutup. Bayangkan, keadaan kepala yang terkepung dengan pemakaian tudung ditambah pula dengan rambut yang lembap boleh mengaktifkan lagi pembiakan kutu rambut.
Jadi apa perlu dilakukan bila anak-anak sudah dijangkiti kutu. Sekiranya ibu risau tentang penggunaan syampu kimia untuk menghapuskan kutu, ada banyak petua sebenarnya yang boleh dipraktikkan untuk mengatasinya
Lemon
Sifat asid yang dimiliki oleh lemon sememangnya tidak disukai oleh kutu rambut. Caranya amat mudah iaitu dengan mengambil beberapa biji lemon segar dan diambil jusnya.Gunakan perahan jus sebagai syampu untuk rambut. Lumurkan dan biarkan selama 30 minit sebelum dibilas dengan air bersih.
Bawang Merah
Bawang merah juga dikatakan berkesan untuk menghilangkan masalah kutu rambut. Ambil beberapa biji bawang merah yang telah ditumbuk dan lumurkan di atas kepala. Biarkan seketika sebelum membilasnya dengan air biasa.
Cuka Makan
Ia berfungsi sebagai pembasmi kutu kerana cuka makan akan membuatkan telur kutu mati dan tidak sempat menetas.Kadar asid yang tinggi juga membantu mengatasi masalah kutu.
Limau Nipis dan Minyak Kayu Putih
Campuran kedua-dua bahan ini dikatakan amat efektif untuk mengatasi masalah kutu rambut. Ubat secara tradisional ini bertindak untuk mematikan telur kutu dan baunya tidak digemari oleh kutu rambut.
Minyak Zaitun
Ia juga dikatakan sebagai bahan ramuan semulajadi yang baik untuk membasmi masalah kutu rambut. Caranya amat mudah iaitu dengan melumurkan minyak zaitun di seluruh bahagian kepala dan membiarkan ia selama 30 minit. Serkup rambut menggunakan shower cap.
Kemudian bilas rambut seperti biasa diikuti dengan mencuci rambut dengan menggunakan syampu.
Semoga teknik perubatan secara alami ini dipraktikkan bagi menghapuskan masalah kutu yang sering menjadi igauan ngeri ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah.
Namun begitu, jika masalah ini kerap berulang, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan susulan agar masalah ini tidak terus membelenggu si kecil yang pastinya tidak selesa berhadapan dengan masalah ini dalam tempoh yang lama.
Penyebab jangkitan kutu
Sekiranya masalah kutu berjaya diselesaikan ingatkan anak supaya menghindari penyebab masalah jangkitan kutu seperti berikut:
1.Tidur atau duduk dekat dengan mereka yang sudah dijangkiti kutu
Kutu boleh berpindah dari satu kepala ke kepala yang lain melalui interaksi secara langsung. Sebagai contoh, tidur dengan seseorang yang mempunyai masalah kutu.
Begitu juga jika anak anda duduk di dalam kelas bersebelahan dengan kanak-kanak yang mempunyai kutu, kebarangkalian untuk berjangkit adalah amat tinggi.
2. Memakai kelengkapan peribadi orang yang berkutu
Antara penyebab utama timbulnya masalah kutu kepala adalah kerana berkongsi barangan peribadi seperti sikat, tuala, baju, topi dan sebagainya.Ia akan menyebabkan kutu tersebut dapat berpindah ke kelapa lain.
3. Pengabaian penjagaan kebersihan kepala
Menjaga kebersihan bahagian kepala dan rambut penting untuk mengelakkan berlakunya masalah kutu.Bagi wanita yang mengenakan tudung, keadaan rambut yang kotor boleh menjadi penyebab wujudnya masalah kutu rambut.
Selain itu, masalah rambut seperti rambut kering, rosak dan berkelemumur juga boleh menjadi faktor pendorong masalah kutu rambut.
Info
Kutu rambut merupakan parasit yang hidup di celah-celah rambut dan menghisap darah di bahagian kulit kepala. Kesan gigitannya akan menyebabkan rasa gatal dek kerana muntahan air liur kutu yang terkena pada bahagian kulit kepala.
Tahukah anda, seekor kutu rambut dewasa boleh menghasilkan sehingga 10 telur dalam sehari,dengan jangka hayat kira-kira 3 hingga 4 minggu!
Telur kutu pula boleh mengambil masa selama 7 hingga 10 hari untuk menetas dan boleh menghisap darah antara 4 hingga 6 jam sekali.
sumber
loading...
Terima kasih atas tipsnya.. memang merimaskan hidup dengan kutu2 ni.. sampai terpaksa saya botakkan kepala
ReplyDelete